Dengan
nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi
Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari
Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah
sahaja Kami memohon pertolongan. Tunjukilah Kami jalan Yang lurus. Iaitu jalan
orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan)
orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang
sesat.
Selawat serta salam
ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w., keluarga dan para sahabat
sekalian.
Izinkan saya yang
da’if dan sedikit ilmu ini untuk berbicara dalam buku kecil ini. Tiada
selengkap ilmu, selain ilmu Allah, al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w.,
al-Ijma’ dan al-Qias. Tidak ada barakah dan bakti jika bukan seikhlas bakti
yang dicurahkan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din, guru saya yang
menjadi pencetus ilmu perubatan Islam, ‘pengamal perubatan Islam’.
Pesanan Guru ‘mudah-mudahan kami dapat melaksanakan tugas dengan ikhlas
untuk memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan, dengan berkat Allah’
akan kami sanjung tinggi.
Sebagaimana manusia
biasa dan kita diutuskan oleh Allah s.w.t. ke atas dunia ini, tidak lain dan
tidak bukan adalah untuk beribadah kepada Allah, seperti firmannya;
“Dan (ingatlah!) Aku
tidak ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat
kepadaKu”. (Surah
Al Zariyat: 56)
Oleh itu, dalam semua
aspek kehidupan manusia dunia dan akhirat hendaklah menjuruskan kepada ibadah.
Begitu jugalah dalam hal merawat diri, menjadi perawat atau mencari ikhtiar
untuk kesembuhan penyakit sama ada rohani atau jasmani.
Seorang insan yang beriman
dan Islam tidak akan terlepas dari ujian, maka ia hendaklah berkeyakinan penuh,
dengan iktikad terhadap agamanya yakni Islam; kerana agama Islamlah yang
akan menyelamatkannya di akhirat nanti sebagaimana firman Allah s.w.t.;
“Sesungguhnya agama
yang sebenar di sisi Allah ialah Islam”
(Surah
003. Ali 'Imran 19)
Insan itu perlu mempunyai
ilmu dalam merealisasikan amal makruf dan nahi mungkar (menilai baik buruk
sesuatu perkara). Jangan kita mengambil mudah soal-soal mencari ikhtiar khususnya
untuk merawat penyakit, terutama yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus
tanpa melihat halal dan haram sesuatu kaedah rawatan tersebut. Jangan pula kita
mudah terpedaya terhadap kata-kata bomoh, dukun, perawat dan sebagainya yang
menyalahi syariat semasa berubat.
Tanpa disedari kita
teribat dengan perkara-perkara khurafat dan syirik
(menduakan Allah). Ini akan menjadikan
seseorang itu sesat dari sudut pegangan akidah, malah penghayatan konsep Tauhid
(pengesaan) kepada Allah tidak lagi menjadi asas pegangan agamanya. Firman
Allah s.w.t.;
“Dan sesiapa yang
mencari agama selain Islam maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada
hari akhirat (kelak) dari orang-orang yang rugi”. (Surah Ali Imran: 85)
Justeru itu,
manfaatkanlah sedikit ilmu yang terdapat dalam buku kecil ini bagi mentarbiyyah
diri, keluarga dan masyarakat, moga kita memperolehi keredhaan Allah s.w.t.,
INSYAALLAH.
Insan Akademis Yang
Bertaqwa
Ustaz Abd. Halim Zakaria
No comments:
Post a Comment